Thursday, March 24, 2011

Dari 'setan', menjadi ustaz


Posted by salafus-sholih at 2:04 AM

Saya pasti, ramai yang sudah mengetahui akan kisah penghijrahan pelakon Azmil Mustapha daripada kehidupan yang penuh ‘lagha’ kepada pengabdian diri kepada Allah. Namun, saya mengambil peluang ini untuk berkongsi sesama kita untuk meneliti segala pandangan dan pengalaman yang dihadapinya dalam sepanjang proses penghijrahannya. Semoga kisah ini dijadikan dorangan kepada kita semua untuk melakukan penghijrahan yang serupa. Kisah ini dipetik dari blog WanWMA.

Apabila disebut nama Azmil Mustapha , majoriti generasi muda tidak akan dapat mengecam siapa orangnya. Tetapi sebut saja Ali Setan , ‘berkat’ daripada siaran ulangan filem tersebut di kaca televisyen , semua orang tidak kira yang kecil atau dewasa dari kalangan peminat filem Melayu pasti mengenal pelakon tersohor Malaysia dekad 80-an ini. Azmil, 55 (umur yang dikira beliau mengikut takwim hijri 22 Safar 1375H) adalah antara sebilangan artis di Malaysia yang melakukan ‘penghijrahan’ daripada kehidupan yang penuh ‘lagha’ kepada pengabdian diri kepada Allah.

Penampilan terakhirnya adalah sebagai Pengiran Demak dalam filem ‘Puteri Gunung Ledang’; watak yang diilakonkan setelah syarat-syaratnya yang ketat diterima penerbit. Duda (mempunyai seorang anak dengan bekas isteri pertama dan empat dengan isteri kedua) dari Shah Alam, Selangor ini telah musafir ke Syria sejak setahun lalu untuk mempelajari bahasa Arab dan ilmu agama.
Wartawan Global Media Channel (GMC) berkesempatan menemuramah Azmil di Kota Bharu (beliau kembali ke Malaysia sempena cuti semester pengajiannya) yang hadir memenuhi undangan untuk menyampaikan ceramah kesedaran Islam anjuran PAS Kawasan Ketereh baru-baru ini.

Kenapa saudara memilih untuk ke Syria ?
Saya buat solat hajat, minta dengan Allah, saya nak cari tempat belajar, Allah berikan petunjuk belajar di Syria. Dengan duit yang saya dapat dari menyampaikan ceramah-ceramah kesedaran Islam sebelum itu di Malaysia, saya terbang ke Syria dengan anak-anak saya.

Saya belajar Bahasa Arab di Maahad Taalim Lughatal Arabiah Lil Ajnabi (Institut Pengajian Bahasa Arab Bagi Orang Asing).Kalau saya terus masuk kelas (pengajian agama) anjuran syeikh-syeikh pun saya tak reti Bahasa Arab. Jadi saya belajar Bahasa Arab dahulu. Sementara itu saya belajar Al-Quran, tajwid dan tasmi’ dengan syeikh-syeikh. Saya juga belajar dengan pelajar-pelajar Malaysia yang ada di Syria.

Sejak bila sebenarnya saudara ke sana ?
Sudah setahun. Saya pergi redah sahaja. Tak ada buat rancangan. Dengan empat orang anak saya turut bersama (tiga perempuan dan seorang lelaki). Yang sulung kemudiannya balik untuk mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sini. Jadi kekallah tiga orang yang tinggal bersama saya di sana. Anak saya Noramalia Batrisya ,15, dan Mohd. Bazli Shafri, 13, belajar di Jami’ Abu Nur, sebuah kolej Islam antara yang termasyhur di Syria. Yang kecil baru masuk umur tujuh tahun dan belajar di darjah satu. Enam bulan pertama mereka dimasukkan dalam kelas bahasa Arab. Tidak ada masalah untuk mereka mengikuti pengajian dan sekarang sudah fasih berbahasa Arab. Saya amat puas hati dengan perkembangan mereka.

Puas hati macam mana ?
Dengan perubahan perwatakan. Di Malaysia, dekat Shah Alam tempat kami tinggal dahulu banyak pengaruh yang tidak sihat. Cara hidup moden . Tapi di sana mereka mengaji Quran tiap-tiap hari, solat tidak tinggal dan pergaulan dijaga. Malah mereka sempat menasihati kakak yang pulang ke Malaysia “jangan tengok lelaki” bukan berkawan, tengok pun mereka tak bagi.

Di sana pergaulan antara lelaki dan perempuan amat dibatasi. Kita payah nak lihat pergaulan secara bebas berlaku. Duduk satu meja pun tak ada. Kalau di Yaman, negeri yang berjiran dengan Syria, dalam bas kalau hanya ada seorang wanita yang menjadi penumpang , yang lelaki tidak akan naik dan sanggup tunggu bas yang lain datang untuk dinaiki. Bimbang timbul fitnah walaupun hanya sebagai penumpang. Masing-masing sangat prihatin untuk menjaga perkara ini.

Antara perubahan yang ketara saya dapat lihat adalah pada anak perempuan saya, Noramaliya. Dia sebenarnya pelajar yang lemah. Semasa bersekolah di Malaysia, biasanya dia mendapat kedudukan 35 ke bawah. Dulu tinggal di Shah Alam, dia selalu ponteng sekolah. Tengok wayang di KLCC. Pergi ke sekolah tapi dalam beg ada pakaian lain untuk ditukar. Itu dah memang menjadi tabiat pelajar sekolah di Malaysia. Sampai di Syria, dia jadi pelajar yang terbaik. Padahal dalam kelas ada pelajar-pelajar luar negara yang lain seperti dari England, Afrika Selatan, Kazakhstan , China dan lain-lain. Dia yang muncul pelajar terbaik

Bagaimana saudara menyara kehidupan di Syria ?
Tidak ada pendapatan tetap tapi saya sangat bernasib baik kerana mendapat bantuan. Saya diberi tempat tinggal percuma oleh seorang Syeikh di sebuah apartmen di pinggir Damsyik. Saya akui duit pun tak banyak tapi diam tak diam sudah sampai setahun saya di sana dan tidak timbul sebarang masalah besar. Kita kena yakin rezeki itu datang daripada Allah. Ada saja duit yang masuk. Sentiasa ada bantuan diterima kerana saya dan anak-anak dikira orang yang sedang menuntut ilmu.

Malah ia sampai ke tahap saya kadang kala terpaksa buang makanan yang diberi oleh jiran kerana terlampau banyak. Dan di sana kita yang pergi belajar dengan Syeikh ini bukan kita yang membayar Syeikh tapi mereka pula yang memberi duit pada kita. Perkara ini sudah jadi kebiasaan orang Syria . Jika tidak pun, dia akan beri kita roti setiap kali pergi belajar. Pergi solat Jumaat pun dapat duit. Budaya memberi amat dititikberatkan. Paling kurang, yang dewasa akan menyediakan gula-gula dalam poket untuk diberi kepada kanak-kanak.
Saya juga terkejut kerana kadang-kadang menerima sumbangan yang nilainya mencecah RM1000. Kalau yang kaya lebih lagilah mereka sumbangkan. Anak kepada Syeikh yang menyediakan rumah percuma untuk saya pernah menyumbang jutaan ringgit kepada fakir miskin dalam bulan Ramadhan. Kenapa saudara fikir perubahan-perubahan positif sama ada kepada anak atau saudara sendiri boleh berlaku? Adakah perbezaan antara Syria dan Malaysia ini begitu ketara sekali sedangkan kedua-duanya adalah bumi orang Islam?

Bumi Syria ini ada kelebihan. Saya daripada kecil sampai besar memang belajar di sekolah yang tidak berasaskan kepada Islam. Saya menuntut di dua buah sekolah mubaligh Kristian iaitu La Salle Institution dan St John Institution. Dari situ saya menyambung pula pelajaran ke Indiana University di Amerika. Daripada kecil sehingga dewasa, saya tidak pernah belajar dan khatam al-Quran.
(Di Amerika , Azmil belajar dengan pengkhususan dalam penerbitan televisyen, radio dan filem. Beliau hanya tinggal tiga lagi jam kredit untuk dihabiskan sebelum dihantar pulang ke Malaysia oleh Jabatan Imigresen Amerika. Tindakan itu diambil ketika Amerika membuat penapisan orang-orang Islam dari negara luar berikutan kemenangan kumpulan Islam (Syiah) menjatuhkan kerajaan beraja Shah Mohammad Reza Pahlavi. Azmil dikesan bekerja sambilan walaupun syarat hanya membenarkan pelajar luar yang mempunyai 12 kredit atau lebih sahaja untuk berbuat demikian. Ayahnya Dato’Mustapha Kamil Yassin, bekas pensyarah di Universiti Malaya dan Universiti Sains Malaysia tidak mahu Azmil mengambil biasiswa kerana kedudukannya sebagai kakitangan kerajaan gred A. Mula-mula saya berubah dulu nak baca surah al- Fatihah pun tak boleh. Kena baca mengikut tulisan rumi. Nak sembahyang semua ayat kena ditulis ke huruf rumi. Tak pernah dapat hafal. Sehinggalah apabila saya ke Syria.
Di sana, anak-anak saya belajar Al-Quran dengan seorang syeikhah (ustazah) di rumahnya. Selepas sebulan syeikhah tersebut datang melawat ke rumah. Dia mahu melihat keadaan keluarga macam mana. Bila datang dia meminta saya mengajar anak-anak. Dia suruh saya baca satu surah. Bila “check” ayah baca pun tak betul, dia pun minta anak muridnya yang lain tolong ajarkan anak-anak saya.Tapi alhamdulillah berkat mengaji tiap-tiap pagi, kini saya sudah boleh menghafal satu, dua muka surat dengan senang. Ini memang saya pelik. Saya rasa ini memang kesan tinggal di bumi Syam (Syria), bumi para anbiya’.Dahulu negara ini tertutup. Sebab ia mengikut pengaruh Rusia. Jadi negara lain menyisihkannya. Apabila Syria disisihkan, ia sebenarnya terselamat. Macam di Malaysia, apabila dibuat dasar terbuka, semua pengaruh dapat masuk, ia merosakkan kita. Budak-budak sekarang budaya sendiri pun tak kenal . Dan dia tak mahu ikut. Dia lebih seronok ikut budaya asing, budaya Barat. Budaya ini di Melayukan dengan bahasa. Tapi isinya tetap dari pengaruh yang menyimpang dari ajaran Islam.

Adakah kerana saudara bimbangkan keadaan begini sehingga sanggup membawa anak-anak jauh dari Malaysia? Azmil Mustafa Sebab benda inilah saya bawa anak-anak keluar. Bila saya bawa anak-anak keluar, ada kawan-kawan yang tegur saya ” Jadi anak kamu ini tidak ada SPM. Macam mana nak cari kerja?”
Saya jawab balik, “Rezeki itu kerana Allah bukan kerana SPM”. Orang ada SPM pun berlambak tak ada kerja. Ada ijazah UM pun tak ada kerja. Ada Master USM pun tak kerja. Kita kena ingat rezeki itu dari Allah.
Sekarang anak-anak saya sudah hafal Juzuk Amma. Saya percaya dalam tiga empat tahun lagi, Insya Allah satu Quran tu dpat habis dihafal. Itu lebih berharga. Kalau dia jadi arkitek atau jurutera tapi Quran pun tak tahu buat apa. Macam saya dulu jadi pengarah filem tapi Quran pun tak tahu, buat apa?
Memberi pendidikan Islam pada anak-anak sehingga sampai berhijrah ke Syria. Orang lain mungkin tak berpeluang berbuat demikian macam saudara.?
Saya rasa kalau kita ajar anak kita cara Islam tak ada kekurangannya bagi saya. Malahan Allah mungkin akan mecurahkan kemudahan kepadanya. Sekarang kita kongsi raya, kita kongsi hukum, kongsi taraf atau standard Islam dengan yang lain. Kita membandingkan ajaran Islam dengan yang Barat.
Kalau tak seperti Barat, kita anggap standard kurang. Kita campur aduk hukum Allah dengan hukum kafir. Inilah yang saya nampak masalah kita pada hari ini. Ini pun nak berlaku di Syria pada hari ini. Kalau di negara kita lama dah dijajah 500 tahun dahulu dan kita masih ‘terjajah’. Syria ini dia baru terbuka tak sampai 10 tahun. Jadi generasi dia sekarang dia baru rosak.
Kalau kita di Malaysia, kerosakan bermula sejak dari generasi bapa kita dahulu. Mareka agungkan England dan Amerika.Tetapi bagi saya , kalau orang Syria nak ikut barat pun, agaknya kena juga dengan fizikal mereka itu. Tapi kita Melayu pun nak mata warna biru, rambut warna perang. Tak kenalah. Nampak janggal sangat kalau yang Melayu nak tiru.
Bagaimana kita hendak menghadapi perubahan budaya sebegitu ?
Di Syria, guru-guru yang pegangannya kuat masih bertahan. Kita di Malaysia, lebih banyak yang kebaratan daripada Islam. Kita di sini mereka yang nak kepada Islam sedikit, yang nak kepada barat banyak.
Dari sekolah itu yang diajar. Supaya kita bersedia dengan pengaruh dan sistem barat. Sekolah-sekolah kita, tamat persekolahan kita berpeluang belajar sampai ke universiti di Amerika, di England. Tetapi kalau kita keluar dari pondok atau sekolah agama, peluang sambung belajar itu tidak seberapa.
Apa yang kita lakukan adalah untuk menyesuaikan diri kepada budaya barat.
Dan ini kita tak sedar. Kita seolah-olah nak menyediakan diri masuk ke institusi dan sistem yang kerap kalinya meruntuhkan jati diri Islam..
Dan yang peliknya, orang tidak bimbang kalau yang keluar tingkatan enam sekolah biasa tak boleh baca Alif Ba Ta. Nak masuk sekolah tahfiz pun payah sebab tak kenal huruf walaupun tamat tingkatan enam. Benda ni dah berlaku sejak zaman dulu lagi dan kita tidak sedar.
Saya cakap kepada seorang sahabat di Syria kenapa kamu ghairah nak buka peluang kepada barat. Saya dah tengok keadaan di negara saya apa yang berlaku. Dia kata mereka pun nak moden. Moden apa? Moden nak tengok anak-anak terbuang di tong sampah. Moden nak tengok anak-anak mati sia-sia kerana terlibat denbgan lumba haram. Itu moden buat apa. Pembangunan sedemikian yang membangun hanya bangunan dan jalan raya. Akhlak diruntuhkan kerana nak mencantikkan bangunan dan jalan. Sebab itu fikirlah, kerana tak ke mana kita dengan pembangunan sebegitu.

Kenapa remaja dan kita sendiri sebenarnya cenderung untuk meminati budaya hiburan?
Sebab memang sudah disediakan sejak daripada dulu. Pendidikan dan cara hidup disediakan untuk membolehkan anak-anak bersedia menerima sistem yang menyimpang dari bukan untuk menjadi hafiz atau ulama’. Penyediaan dilakukan untuk membawa masyarakat ke arah keseronokan.
Kalau kita tengok babak dalam filem Melayu, babak minum arak , berdansa, sejak dari zaman P Ramlee sudah ada.
Sejak sekolah lagi , anak-anak dibiasakan dengan budaya Barat. Ada sukan gimnastik sampai terkangkang anak-anak diajar guru; sukan renang, jadi separuh bogel. Kita disediakan untuk menerima budaya barat. Mana kita amalkan hukum syariah ? Itu masalah kita.

Pada pandangan saudara, masalah keruntuhan akhlak ini bagaimana nak diselesaikan?
Sekarang kita taat pada hukum yang tidak berpaksikan Islam. Undang-undang yang dimulakan oleh British dahulu. Cuba kita gunakan hukum syariah, saya percaya gejala sosial yang teruk dalam negara dapat dikurangkan sebab kita menyediakan masyarakat untuk ke akhirat. Sekarang kalau membabitkan hukum Allah, ia dikira hak persendirian. Anda hendak buat atau tidak, itu pilihan anda sendiri. Tapi mereka (kerajaan) tak galakkan pun. Itulah masalah sekarang.

Bagaimana kita nak menyedarkan masyarakat?
Islam ini mesti dijalankan bermasyarakat. Tapi tanggungjawab itu tetap pada diri sendiri. Kita sendiri mesti mulakan dahulu . Contohnya kita dilatih berpuasa sama ada di dalam atau dil luar rumah. Walau di mana pun kita tahu Allah melihat.
Sebab itu kita kena buat pilihan. Dua sahaja pilihan kita. Sama ada ikut jalan Allah atau ikut syaitan. Tidak ada jalan tengah. Tidak ada kompromi. Setiap benda yang berlaku dalam masyarakat dunia hari ini kita kena buat pilihan antara yang benar dengan yang tidak. Gunakan akal.
Islam ini agama untuk yang tahu berfikir. Bukan taat buta tuli. Kalau kita gunakan akal fikiran baru kita sedar. Kita kena fikir tentang keesaan Allah. Ini yang kita kena ajar anak-anak. Sekarang apa yang diajar kena cari duit banyak-banyak. Bila ikut cara Islam barulah ada keberkatan.

Berbalik kepada dunia hiburan, adakah tidak ada ruang sebenarnya untuk ia menjadi lebih baik?
Boleh kalau industri kita industri yang beriman. Tapi industri kita meniru Bollywood, Hollywood, Hong Kong dan lain-lain. Kita menuju ke arah keruntuhan. Ini yang bahayanya.

Nasihat kepada rakan artis
Pendek sahaja ; Allah melihat apa yang kamu buat.
Wallahualam.....



Alasan kebiasaan si pelaku dedah aurat


Posted by salafus-sholih at 10:19 PM
Sejak akhir-akhir ini, saya seringkali mendapat pertanyaan yang sama mengenai isu-isu aurat. Bagaimana hendak menjawab alasan mereka yang tak nak menutup aurat? Bagaimana hendak menarik mereka memakai tudung? Bagaimana nak memberi kefahaman kepada mereka tentang aurat? Dan lain-lain lagi. Di sini saya berusaha mengumpul alasan-alasan dan hujah-hujah balas buat si pelaku dedah aurat. Terima kasih kepada sumber berkenaan, boleh rujuk untuk jawapan penuh. Dan artikel ini bukan sahaja tertumpu pada isu bertudung, malah juga buat muslimah yang bertudung pendek, memakai sendat serta kaum muslimin sendiri yang mendedah aurat. Insyaallah semoga bermanfaat buat mereka yang tercari-cari jawapan mengenai isu ini.
---------------------------------------------
1. Walaupun dedah aurat, diri masih menjaga maruah dan tidak melakukan perkara tak senonoh?
”Janganlah nilai orang dari luarannya. Don’t judge a book by its cover!”
"Walaupun tidak pakai tudung, saya tetap masih jaga solat dan menjaga tingkah laku"
Jawapan:
Adakah anda mendakwa diri anda mempunyai hati yang suci, iman yang tinggi dan kononnya ia sudah cukup menjamin maruah diri tanpa perlu menutup aurat? Tetapi adakah anda berani menjamin bahawa semua lelaki ajnabi yang melihat aurat anda mempunyai hati sesuci dan iman setinggi anda juga? Langsungkah mereka tidak memberi kesan dan tidak membangkitkan nafsu serakah mereka yang berada di hadapan anda? Jadi, perlu diberi kefahaman bahawa kewajipan wanita menutup aurat bukanlah semata-mata untuk menjaga maslahat dan maruah pihak wanita itu sendiri, tetapi maslahah yang lebih besar ialah menjaga masyarakat yang berada di sekelilingnya agar tidak terfitnah disebabkan budaya mendedahkan aurat. Betapa banyak kes-kes jenayah rogol dan cabul berpunca daripada wanita sendiri yang mempamerkan tubuh badannya yang terdedah di hadapan khalayak lelaki. Maka tutuplah aurat bukan sekadar untuk anda, tetapi juga demi kemaslahatan orang lain di sekeliling. [1]


2. Perempuan yang bertudung lebih teruk daripada tak bertudung?
"Ala… perempuan pakai tudung pun berperangai buruk!"
“Ada juga rakan saya yang betul-betul menutup aurat tetapi perangai dan kelakuan mereka lebih teruk dari perempuan yang tidak memakai tudung!”
“Ada seorang kakak tu pakai tudung, tapi perangai buruk, mengumpat sana mengumpat sini”
“Siapa kata orang tak pakai tudung semua jahat?”
Jawapan:
Ungkapan anda ini seolah-olah sedang memperlekehkan insan yang sedang berusaha mentaati perintah Allah (dalam bab tutup Aurat). Apakah anda perasan bahawa anda sudah lebih baik berbanding insan yang menutup aurat tersebut apabila anda berani melafazkan ungkapan seperti itu, sedangkan anda sendiri membiarkan aurat anda terbuka? Salah sama sekali dalam hal ehwal agama, untuk kita membandingkan diri kita dengan mereka yang lebih buruk agama dan akhlak. Ia adalah teknik Syaitan untuk menghentikan seseorang dari melakukan usaha pemulihan diri kepada yang lebih baik. Nabi bersabda: Dua perkara yang sesiapa dapat perolehinya akan ditulis dirinya sebagai hamba yang bersyukur dan sabar, sesiapa yang gagal dalamnya, tidak akan ditulis sebagai orang bersyukur dan sabar. Iaitu sesiapa yang melihat tentang agamanya kepada mereka yang jauh lebih baik darinya, lalu ia berusaha mengikutinya, dan dalam hal keduniaan mereka melihat kepada orang-orang yang kurang darinya sehingga ia memuji Allah atas nikmat yang diperolehinya. (HR At-Tirmidzi) [2]


3. Tidak mahu hipokrit bila bertudung?
"Bertudung ni perlukan keikhlasan…"
“Saya mahu berubah kerana saya sendiri yang ingin berubah. Saya mahu melakukannya dengan ikhlas, bukan kerana disuruh.”
“Buat apa pakai tudung kalau hati tak betul”
Jawapan:
Allah swt dan RasulNya telah mengarahkan seluruh wanita muslimah WAJIB untuk menutup aurat tidak kira sama ada seseorang itu ikhlas atau tidak, suka atau tidak, disuruh oleh orang lain atau terbit dari hatinya sendiri. Sama seperti mendirikan solat, membayar zakat, puasa Ramadhan dan semua arahan serta larangan Islam yang lain, sama ada seseorang itu ikhlas atau tidak, terpaksa atau tidak. Sekiranya ikhlas dijadikan alasan maka, ramai diluar sana tidak perlu solat 5 waktu kerana sukar mencapai tahap keikhlasan yang ingin dicapai.
Perlu diingatkan, jika seseorang menutup aurat secara ikhlas atau separa ikhlas, maka dia akan beroleh ganjaran sekadar keikhlasannya. Namun tanggungjawab fizikal yang diwajibkan oleh agama dikira sudah terlaksana secara zahirnya. ATAU kata lainnya, tatkala itu dia hanya BERDOSA SEKALI iaitu kerana tidak melaksanakannya secara ikhlas, tetapi dia terhindar dari dosa tidak mengerjakan yang wajib ke atasnya secara zahir. Namun jika dia degil dan tidak menutup aurat, atas alasan TIDAK IKHLAS, TIDAK MAHU HIPOKRIT dan sebagainya, tindakannya itu menjadikannya BERDOSA di sisi Allah secara fizikal dan juga spiritual, atau dalam kata lainnya, dia berdosa DUA KALI. Dosa di level pertama dan kedua sekaligus, malah lebih musnah apabila dosa level pertama itu sangat mudah bercambah apabila ia berjangkit kepada orang lain, seperti apabila sahaja ada mata lelaki bukan mahram yang melihat, ketika itu dosa bukan hanya dua kali tetapi sebanyak mata lelaki yang melihat. Adapun bagi mereka yang tidak ikhlas tadi, at least dia sudah terselamat dari cambahan dosa dari mata lelaki. [3]


4. Menunggu seru untuk bertudung?
“Biarlah ianya datang daripada saya sendiri, bukan dipaksa sesiapa. Bila tiba masa, Insyaallah saya bertudung”
“Saya tahu hari itu akan tiba tetapi bukan sekarang”
“Insyaallah, apabila sudah berkahwin barulah saya bersedia”
Jawapan:
Jika bukan sekarang, maka adakah apabila sudah terlantar di rumah mayat baru ingin berubah? Sedarilah wahai diri, bahawa kematian akan datang secara tiba-tiba dan tiada sebarang jaminan umur masih panjang beberapa minggu lagi. [3]

Sumber:

Lelaki dan blue

Posted by salafus-sholih at 5:22 PM

 
Blue, suatu istilah yang tak perlu diperkenal lagi. Ianya cukup sinonim dengan kaum lelaki pada masa kini. Mereka tidak kira pelajar sekolah, kolej dan universiti, baik penganggur dan pekerja awam, kesemuanya pasti cukup mengenalinya.

Mereka yang terjebak bagaikan seorang penagih dadah. Sekali terpaut, jiwa bagai meronta-ronta untuk mengaut buat kali seterusnya. Jika dahulunya untuk mencari blue, mereka perlu meredah hiruk pikuk kota dan menyusuri jalan petaling. Tetapi sekarang tidak perlu lagi. Blue kini dapat diakses begitu mudah, hanya berada pada hujung jari mereka sahaja. Buatlah pencarian di mana-mana browser di internet, sekelip mata terpapar apa yang diingini. Tambah-tambah lagi dengan adanya telefon bimbit berkamera yang boleh memainkan video berresolusi 1024x768, mereka boleh saling bertukar-tukar informasi blue mengikut citarasa mereka dan boleh ditonton bila-bila masa sahaja. Dan yang paling penting adalah mereka tidak perlu lagi berdepan risiko dimaki hamun tauke jurujual VCD blue lagi!

Lelaki dan couple
Mereka yang terjebak dengan blue, pasti akan ber’couple’. Ini bukanlah suatu perkara yang memelikkan kerana bagi mereka, menonton blue sahaja tidak mencukupi. Menonton blue bagaikan menagih dadah seperti yang dikatakan sebelum ini. Pada mulanya mereka melihat gambar, kemudian menonton video, dan akhirnya sudah tiba masanya untuk mencari seseorang untuk dijadikan ‘kambing hitam’. Setelah berlaku declaration, maka bermulalah pemasangan strategi-strategi oleh mereka ini. Apabila mereka berdepan dengan couple mereka, mereka cuba mengimbas kembali aksi-aksi di dalam video blue yang ditonton tadi, cuma kali ini wataknya cuba dikaitkan dengan pasangannya itu. Dan sekali lagi, bayangan mereka ini masih belum memenuhi kehendak nafsu mereka lagi.


Pada zahirnya, kaum lelaki tampak seorang yang mengambil berat, sering bertanya khabar, memuji-muji kaum hawa supaya dapat meruntum jiwa mereka. Mereka akan berlakon watak ‘lelaki paling baik di dunia’ dan ianya memang terbukti berjaya. Tidak hairanlah apabila ditanya pada kebanyakan para wanita diluar sana, masing-masing mengaku memperoleh pasangan couple terbaik dan kononnya tiada lagi lelaki lain yang dapat menandingi pasangan mereka itu. Bagi lelaki tersebut, tidak kira gelaran ‘baik’ diperoleh atau tidak, mindset mereka memang sudah ditetapkan sejak awal-awal lagi dan misi mereka harus dicapai secepat mungkin. Mereka cuba mencuba sehingga apabila berjaya menguasai perasaan pasangan mereka, maka bertindaklah mereka! Setelah habis diperalat, dikatakan telah puas, maka ditinggallah kaum wanita yang malang tadi. Jika kaum wanita itu ‘bernasib baik’, sampailah mereka ke jinjang pelamin walaupon telah dipalit dengan aksi-aksi yang menjijikan tadi . Dan kita pula terpedaya dengan 'kebahagian' pasangan couple itu.

Jaga pandangan
Menjadi lumrah, antara kaum adam dan hawa saling menegur. Kaum adam kini cukup prihatin dalam menjaga soat aurat. Mereka menegur wanita yang selalu memakai sendat. Mereka menegur muslimah yang bertudung tetapi mendedah dada. Ya, satu tindakan yang terpuji, namun yang tidak enaknya selang beberapa lama kemudian, mereka mula membuka leptop dan menonton koleksi video 3gp. Dan setibanya seorang wanita yang terdedah auratnya, mata mereka tidak berkelip-kelip. Mungkin mereka telah lupa, Allah SWT berfirman:

“Dan katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang lelaki yang beriman agar mereka tundukkan pandangan dan memelihara kemaluan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah maha mengetahui apa yang mereka lakukan.” (Surah al-Nur: 30)
Jadi, apakah bezanya kaum lelaki ini dengan muslimah yang tidak menutup aurat tadi, sedangkan mereka sendiri tidak melaksanakan perintah tuhan sewajarnya? Mereka seolah-olah mencari alasan untuk memuaskan nafsu serakah mereka sendiri disebalik kegagalan kaum muslimah tidak menutup aurat. Bagi mereka, apabila kesemua wanita di muka bumi ini menurut perintah menutup aurat dengan sempurna, barulah mereka hendak bertindak menjaga pandangan yang sepatutnya. Dan adakalanya, mereka membuat lawak disebalik peringatan yang diberi Rasulullah SAW: 

"Jangan kamu ikuti satu pandangan dengan pandangan yang lain, kerana yang pertama bagimu ( diampunkan) dan tidak bagi yang kedua" (Riwayat Ahmad, Abu Daud)
“Ala... baru sahaja pandangan pertama, rilekslah... tak berdosa pon”. Itulah kata-kata mereka dengan tersengih-sengih memerhatikan kelibat tubuh wanita yang dipandangnya. Langsung tidak mengalih pandangan mereka samaada pandangan pertama, kedua, ketiga dan seterusnya. Ternyata selepas itu mereka dihimpit bayangan jijik yang membuak-buak di pemikiran mereka dan seterusnya terpaksa mencari blue untuk menuruti ketuhanan nafsu mereka. Inilah akibatnya apabila hukum hakam tuhan pada mulanya dibuat gurauan, akhirnya memakan diri. 

Suara wanita adalah aurat?


assalamualaikum..
Di sini ramai mempertikaikan, sekiranya suara wanita adalah aurat, bagaimana pula dengan guru-guru, pensyarah-pensyarah, malah pelajar-pelajar itu sendiri untuk berinteraksi dengan kaum berlawanan? Menjawab persoalan ini, pada dasarnya suara wanita itu bukan aurat. Ini berdasarkan pangangan majoriti ulama berdasarkan dalil berikut:

Wahai seluruh kaum wanita, bersedeqah dan banyakkan istighfar, sesungguhnya aku melihat wanita adalah majoriti ahli neraka. Maka berkatalah seorang wanita : Mengapa kami menjadi majority ahli neraka ya Rasulullah? : rasul menjawab : wanita banyak yang melaknati dan mencela orang lain serta mengingkari kebaikan suaminya..." (Riwayat Muslim)
 
Namun, apabila suara wanita tersebut dilembutkan dengan sengaja, dimanjakan dan dimerdukan, ianya adalah haram untuk diperdengarkan kepada jantina berlawanan secara ijma'. Allah telah memberi amaran:

Maka janganlah kamu wahai wanita, merendahkan (melembutkan) suaramu maka dibimbangi orang yang berpenyakit di hatinya beringinan jahat kepadamu, maka bercakaplah hanya dengan kata-kata yang baik ( kandngan dan tatacaranya)" (Al-Ahzab : 32)
 
Di sini, para ulama tafsir menyebut, suara wanita yang dilagukan adalah termasuk dari kecantikan-kecantikan (yang tidak harus dipertonton dan dipeerdengarkan kepada lelaki bukan mahram) tiada khilaf dalam hal ini. Imam As-Suddi berkata, larang ini bermaksud larangan kepada kaum wanita menipiskan suaranya (lembut, lunak dan manja) apabila bercakap di hadapan khalayak lelaki. Imam Qurtubi pula mengatakan, kerana suara yang sebegini akan menjadikan orang-orang lelaki munafiq dan ahli maksiat berfikir jahat.
Malah bukan sekadar suara sahaja yang boleh menjadikan mereka tercebur dalam perkara haram, malah pakaian dan pergerakkan mereka di khalayak awam juga. Kebiasaannya mereka kerap bersolek-solekan dengan pakaian yang menarik perhatian di samping duduk menjadi tontotan lelaki. Jika para ulama semasa menghukumkan haramnya bersanding pengantin di atas pentas dalam keadaan senyap tanpa berkata, apatah lagi mereka yang bersolek adakala seperti pengantin ini dan melentuk-lentuk tubuh dan suaranya di hadapan lelaki bukan mahram, sudah tentu haramnya lebih besar.